Saidina Umar Dibebel Isteri
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh.
Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel,
sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak
juga membebel.
Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya
yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana
membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.
Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau.
Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun
mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk
mengadu kelakuan isterinya.
Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina
Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam
rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas.
Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak
mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun
begitu, apatah lagi isteriku.
Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya,
“Apa hajat kamu datang ke mari?”
Si suami tadi menjawab,
“Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”
Saidina Umar tersenyum lalu berkata,
“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia
telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku
dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya
itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”
Begitulah kisahnya.
Sebagai suami, kita perlu memainkan peranan “senyap” sebagai reverse
psychology dalam membentuk rumahtangga yang bahagia.
Ingatlah wahai suami. Senyap bukan bererti pengecut. Tidak menegur dengan kata-kata juga tidak bererti penakut.
Isteri yang menjawab bukan isteri derhaka. Isteri yang memarahi suami
juga bukan dipanggil derhaka. Begitu juga jika berleter, membebel, emo,
merajuk, dan sebagainya, juga bukan derhaka.
Ingatlah wahai
isteri. Suami adalah pemimpin, perlu dihormati. Namun suami juga
manusia, ada buat silap, ada nafsu, ada terpengaruh dengan hasutan
syaitan, dan sebagainya yang kadangkala perlu ditegur, dimarahi, mahu
pun dileteri.
Sebab itu, di belakang setiap lelaki yang berjaya adalah seorang perempuan (isteri).
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment